
TIADA ISTILAH WANITA TAK LAKU DALAM ISLAM
MANUSIA ada berbagai darjat, keturunan dan taraf kedudukan tetapi Islam memandang manusia daripada amalan baik yang dilakukannya. Namun demikian, ada segelintir manusia terdiri daripada kaum Hawa sendiri memandang wanita sebagai kaum yang dihina dan melemparkan mereka dengan berbagai perkataan yang menyakitkan hati sedangkan nasib malang yang menimpa bukanlah di atas kehendak mereka. Tidak kira sama ada anak dara tua, janda, wanita beranak ramai dan mandul masing-masing inginkan kebahagiaan dalam kehidupan dan akhirat. Cubalah fikirkan apakah perasaan kita jika perkara tersebut berlaku pada diri kita sendiri?
Dalam banyak perkara kita melihat Islam meletakkan wanita pada martabat dan kedudukan yang tinggi. Sebenarnya wanita adalah golongan yang mempunyai semangat yang kuat biarpun sering dilihat sebagai insan yang lemah berbanding lelaki. Dunia telah membuktikan bahawa wanita adalah tulang belakang yang membentuk kejayaan seorang lelaki, tanpa wanita belum tentu lelaki boleh mencapai kegemilangan dalam kerjayanya.
DI MANA CANTIKNYA SEORANG WANITA?
APABILA diajukan kriteria gadis pilihan hati, rata-rata anak teruna akan memilih gadis yang cantik sebagai pasangan hidupnya. Tetapi di mana cantiknya seorang wanita itu? Adakah pada wajahnya, bentuk badannya, kulitnya, matanya atau bibirnya? Malah orang sudah berkahwin juga ada ketikanya terpaku dan terpesona dengan kecantikan wanita lain yang tentunya lebih muda daripada isteri sendiri.
Sebenarnya, ribuan perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan wanita dan mendefinisikan tentang keindahan paras wajahnya. Setiap lelaki akan memberi jawapan yang berbeza dengan berbagai-bagai andaian dan alasan sehingga ada lelaki tertarik kepada seseorang wanita hanya pada tumit, kening, jari tangan atau bibirnya sahaja. Tidak kurang yang tertawan pada senyuman dan suara lunaknya ketika berbicara.
Jika kecantikan pilihan utama lelaki, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin setiap hari, akan tiba masanya segala-galanya akan pergi jua walaupun wang beribu-ribu ringgit mengalir
untuk membeli alat solek dan melakukan suntikan botoks. Satu hari nanti, apabila tiba masa tuanya, wajah akan suram, cengkung dan berkedut. Mata akan layu, bibir tidak lagi seperti delima merekah dan badan sudah tidak lagi montok dan montel. Jika harta dipilih, jika dikikis lama-lama akan habis juga. Harta juga tidak menjamin rumah tangga kekal bahagia.
Hanya satu yang tidak akan dimamah usia iaitu sifat kewanitaan yang dipupuk dan dibaja dengan iman dan takwa. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Dunia adalah perhiasan, sebaik-baiknya perhiasan adalah wanita solehah." (Hadis Riwayat Muslim).